1/6/11

PENDAFTARAN KEMASUKAN PELAJAR BARU 2011

Pendaftaran pelajar bagi sesi akademik 2011 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan diadakan antara 2 September dan 7 September ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor IPTA, Prof Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak. Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat antara naib-naib canselor IPTA kelmarin. "Pihak IPTA diberi kebebasan untuk membuat pendaftaran pelajar baru antara 2 September hingga 7 September ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Perutusan Tahunan Naib Canselor USM di sini semalam. Beliau berkata, untuk permulaan, perubahan itu pastinya akan menimbulkan sedikit kesukaran kepada pihak universiti. "Dalam semua perubahan mesti ada kesusahan. Sesi kali ini sahaja akan sukar sedikit. Tahun depan akan lebih mudah selepas sistem baru itu diselaraskan," katanya. Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyelarasan kalendar akademik IPTA negara akan dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula sesi akademik 2011/2012 dan dijangka beralih sepenuhnya pada sesi akademik 2013/2014. Penyelarasan itu akan menyaksikan tarikh pendaftaran pelajar baru dianjakkan dua minggu ke hadapan pada setiap sesi akademik yang akhirnya akan bermula pada September berbanding Jun sebelum ini. -KOSMO
readbud - get paid to read and rate articles

Followers